Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Template

Powered by Blogger

Saturday, June 5, 2010

AYAT KETERANGAN

Ayat majmuk keterangan ialah ayat majmuk yang terdiri daripada satu ayat induk dan satu ayat kecil atau lebih yang bertugas sebagai keterangan kepada predikat.
Ini dapat dilihat menerusi contoh:
1) Pemain hoki negara gagal kerana tidak bersedia.
2) Bayi itu menangis kerana ia lapar.
3) Dia bukan majikan saya ketika saya bekerja dahulu.
Ayat kecil dalam ayat majmuk keterangan menerangkan kata kerja dalam ayat utama.
Contoh- contoh dia atas menununjukkan bahawa ayat majmuk tersebut mempunyai dua ciri iaitu pertama, adanya ayat induk dengan satu ayat kecil atau lebih yang tidak dapat berdiri sendiri, dan kedua, oleh sebab adanya kata hubung yang menghubungkaitkan ayat induk dengan ayat- ayat kecil seperti ketika, kerana, semasa, sewaktu, dan sekiranya. Ayat- ayat kecil ini merupakan ayat keterangan. Hubungan antara ayat- ayat ini dapat diringkaskan seperti berikut:
Ayat induk+ Kata hubung + Ayat keterangan
Namun, kedudukan ayat keterangan ini tidak tetap, boleh hadir di belakang ataupun di hadapan ayat induk. Ini dapat dilihat menerusi contoh berikut:
1) Kerana tidak bersedia pemain hoki negara gagal.
2) Kerana ia lapar bayi itu menangis.
3) Ketika saya bekerja dahulu dia bukan majikan saya.




Ayat- ayat keterangan berfungsi memberikan huraian lanjut kepada kata kerja ayat induk. Terdapat pelbagai keterangan yang disampaikan oleh ayat- ayat kecil jenis ini, bergantung pada jenis kata hubung yang digunakan dan maksud yang terdapat di dalamnya.
Ayat keterangan dapat dibahagikan kepada sembilan jenis iaitu:


a) Keterangan musabab.
b) Keterangan akibat.
c) Keterangan syarat.
d) Keterangan waktu.
e) Keterangan pertentangan.
f) Keterangan harapan.
g) Keterangan cara.
h) Keterangan tujuan.
i) Keterangan perbandingan.






a) Keterangan musabab
Keterangan musabab dapat diertikan sebagai unsur yang menerangkan sebab berlakunya sesuatu kejadian atau perbuatan. Kata hubung keterangan musabab yang digunakan adalah seperti kerana, lantaran, dan oleh sebab.
Contohnya:
 Saya tidak dapat hadir kerana saya tidak sihat.
 Oleh sebab mereka datang lewat mereka tidak dibenarkan masuk ke dewan peperiksaan.
 Pelajar itu cemerlang lantaran usaha yang bersungguh- sungguh.
 Saya tidak dapat hadir kerana saya tidak sihat..
 Oleh sebab dia memandu terlalu laju, Aman menerima lima saman.

b) Keterangan akibat
Keterangan akibat didefinisikan sebagai unsur yang menerangkan kesan atau hasil sesuatu perbuatan. Kebiasaannya, kata hubung adalah seperti hingga dan sehingga.
Contohnya:
 Pelajar itu berusaha bersungguh- sungguh sehingga ia berjaya.
 Ia menjerit terlalu kuat hingga serak suaranya.






c) Keterangan syarat
Keterangan syarat ialah unsur yang menerangkan tuntutan yang mesti dipenuhi. Kata hubung ketarangan syarat adalah seperti sekiranya, andai kata, jikalau, jika dan kalau
Contohnya:
 Sekiranya saya lulus peperiksaan ini saya akan mengadakan kenduri kesyukuran.
 Andai kata mereka bertindak kita akan bertahan bersungguh- sungguh.
 Jika diizinkan Allah saya akan berkunjung lagi ke Melaka tempat bersejarah ini.
 Siti akan ikut serta kalau ayah membenarkannya.

d) Keterangan waktu
Keterangan waktu ialah unsur yang menerangkan masa sesuatu perbuatan atau kejadian. Kata hubung keterangan waktu adalah seperti sejak, semenjak, sementara, tatkala, dan ketika
Contohnya:
 Polis segera tiba setelah mendapat maklumat tentang pergaduhan itu.
 Sementara menunggu jagung masak petani itu menanam tebu.
 Tatkala hujan membasahi bumi mereka masih di sawah.
 Ketika masih kecil dahulu saya selalu menolong ibu membuat kuih di dapur.






e) Keterangan pertentangan
Keterangan pertentangan ialah unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian yang berlawanan. Kata hubung keterangan pertentangan adalah seperti walaupun, meskipun, kendatipun, biarpun, walau bagaimanapun, namun, sekalipun dan sedangkan.
Contohnya:
 Sekalipun dia sudah lanjut usia, dia masih bersemangat ingin menyambung pelajarannya ke peringkat ijazah.
 Meskipun hari sudah lewat pemuda itu masih enggan berganjak daripada kedai tersebut.
 Mereka berpindah juga ke bandar sedangkan hati mereka masih di kampung.
 Kendatipun polis itu telah terkena peluru, dia terus melawan perompak.
f) Keterangan harapan
Keterangan harapan merupakan unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian yang dihajati. Kata hubung keterangan harapan ini adalah seperti supaya, agar, semoga, moga- moga, dan kalau- kalau.
Contohnya:
 Supaya suasana menjadi aman damai mereka bersetuju dengan cadangan ketua kampung itu.
 Kita mesti bertolak ansur agar semua pihak berpuas hati.
 Cuba berusaha dahulu, kalau- kalau kita berjaya menyelesaikan masalah ini.




g) Keterangan cara
Keterangan cara dapat diertikan sebagai unsur yang menerangkan gaya atau kaedah sesuatu perbuatan atau kejadian berlaku. Kata hubung keterangan cara ialah dengan.
Contohnya:
 Dengan memberanikan hati Anita nekad terjun daripada kapal ke dalam laut.
 Pemuda itu datang dengan menaiki kapal terbang.
 Dia menangkap tikus itu dengan menggunakan perangkap tikus.
 Mereka ke sekolah dengan menaiki bas.

h) Keterangan tujuan
Keterangan tujuan ialah unsur yang menerangkan maksud bagi sesuatu perbuatan atau kejadian. Kata hubung keterangan tujuan adalah seperti untuk, demi, dan bagi.
Contohnya:
 Para pelajar berusaha bersungguh- sungguh untuk berjaya di dalam peperiksaan.
 Demi menyatukan rakyat yang berbilang kaum, Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat ditubuhkan.
 Udara yang bebas daripada pencemaran amat diperlukan bagi menjamin kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh- tumbuhan.






i) Keterangan perbandingan
Keterangan perbandingan dapat didefinisikan sebagai unsur yang menerangkan kejadian yang menjadi persamaan. Kata hubung keterangan perbandingan adalah seperti, macam, seolah- olah, seakan- akan, ibarat, bagaikan, dan bak.
Contohnya:
 Hatinya pilu seperti dihiris pisau.
 Dia terdiam bagai mulutnya terkunci rapat.
 Ali bermimpi seolah- olah berada di alam kayangan.
 Pemuda itu sering termenung macam pungguk merindui bulan.
 Hidupnya amat bertuah ibarat bulan jatuh ke riba.
 Kedua mempelai itu bagaikan cincin dengan permata, sama cantik sama sepadan.

Kesimpulannya, ayat majmuk keterangan dibina untuk pelbagai tujuan dengan menggunakan kata hubung- kata hubung yang tertentu mengikut kesesuaian penggunaannya di dalam konteks ayat.

1 comments:

Unknown said...

Aslamualaikum cikgu. Izinkan saya menggunakakan ilmu - ilmu di dalam blog ini untuk kajian STPM.

Post a Comment