Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Template

Powered by Blogger

Saturday, June 12, 2010

CABARAN MENGHADAPI PRAKTIKUM

Salam..

Cabaran menghadapi praktikum fasa 2 bermula 28 Jun 2010 selama 14 minggu sememangnya memerlukan pengorbanan yang tinggi kerana bertugas di 2 sekolah sehari. Apapun semoga semuanya berjalan lancar..

Read More......

Tuesday, June 8, 2010

REFLEKSI TUGASAN BLOG

REFLEKSI
NAMA : MOHD ALHAFIZ BIN SIRAT
K/P 820425-01-6459

Pertamanya bersyukur ke hadrat Allah dan terima kasih tidak terhingga kepada pensyarah pembimbing Dr. Hj Kamaruddin Bin Hj Abu Hassan. Alhamdulillah berkat usaha yang gigih serta bantuan pensyarah pembimbing akhirnya dapat menyiapkan tugasan membina blog. Saya bertekad membuatnya dengan baik kerana tidak mempunyai pengalaman sebelum ini. Setelah banyak meneroka dan mencuba saya berasa seronok dan dapat juga membina blog sebagaimana arahan.
Banyak perkara yang boleh saya perbaiki hasil pembelajaran daripada tugasan ini. Saya harus menambahkan lagi pengetahuan dan masih terlalu banyak perkara yang saya belum ketahui. Terutamanya di bahagian memuat turun dan menyusun data supaya kemas dan mesra pengguna. Saya harus memperbaiki cara penyampaian supaya pengguna mudah faham dan boleh menggunakan aplikasi yang disediakan tanpa sebarang kekeliruan atau masalah lain. Masalah yang dihadapi bagi saya ialah muat turun menggunakan perisian yang berbeza. Sama juga ketika saya ingin meletakkan audio dalam blog. Setelah mencuba dengan kaedah cuba jaya akhirnya terhasil juga walaupun tidak begitu baik. Perasaan selama menyiapkan tugasan ini sungguh teruja dan penuh keseronokan kerana dapat mempelbagaikan persembahan blog mengikut cita rasa sendiri. Selain itu saya dapat berkongsi idea dan maklumat bersama rakan seperjuangan. Walau bagaimana pun saya perlu bergantung maklumat sepenuhnya kepada Dr. Hj Kamaruddin kerana menyediakan satu jadual yang sangat bersistem agar tugasan yang akan kami lakukan nanti lebih tersusun.
Akhir kata semoga ilmu berkaitan ICT ini mampu mendorong saya menjalani tugas sebagai pendidik.

Read More......

VIDEO KELAS

Read More......

Saturday, June 5, 2010

AUDIO BLOG

Read More......

AYAT KETERANGAN

Ayat majmuk keterangan ialah ayat majmuk yang terdiri daripada satu ayat induk dan satu ayat kecil atau lebih yang bertugas sebagai keterangan kepada predikat.
Ini dapat dilihat menerusi contoh:
1) Pemain hoki negara gagal kerana tidak bersedia.
2) Bayi itu menangis kerana ia lapar.
3) Dia bukan majikan saya ketika saya bekerja dahulu.
Ayat kecil dalam ayat majmuk keterangan menerangkan kata kerja dalam ayat utama.
Contoh- contoh dia atas menununjukkan bahawa ayat majmuk tersebut mempunyai dua ciri iaitu pertama, adanya ayat induk dengan satu ayat kecil atau lebih yang tidak dapat berdiri sendiri, dan kedua, oleh sebab adanya kata hubung yang menghubungkaitkan ayat induk dengan ayat- ayat kecil seperti ketika, kerana, semasa, sewaktu, dan sekiranya. Ayat- ayat kecil ini merupakan ayat keterangan. Hubungan antara ayat- ayat ini dapat diringkaskan seperti berikut:
Ayat induk+ Kata hubung + Ayat keterangan
Namun, kedudukan ayat keterangan ini tidak tetap, boleh hadir di belakang ataupun di hadapan ayat induk. Ini dapat dilihat menerusi contoh berikut:
1) Kerana tidak bersedia pemain hoki negara gagal.
2) Kerana ia lapar bayi itu menangis.
3) Ketika saya bekerja dahulu dia bukan majikan saya.




Ayat- ayat keterangan berfungsi memberikan huraian lanjut kepada kata kerja ayat induk. Terdapat pelbagai keterangan yang disampaikan oleh ayat- ayat kecil jenis ini, bergantung pada jenis kata hubung yang digunakan dan maksud yang terdapat di dalamnya.
Ayat keterangan dapat dibahagikan kepada sembilan jenis iaitu:


a) Keterangan musabab.
b) Keterangan akibat.
c) Keterangan syarat.
d) Keterangan waktu.
e) Keterangan pertentangan.
f) Keterangan harapan.
g) Keterangan cara.
h) Keterangan tujuan.
i) Keterangan perbandingan.






a) Keterangan musabab
Keterangan musabab dapat diertikan sebagai unsur yang menerangkan sebab berlakunya sesuatu kejadian atau perbuatan. Kata hubung keterangan musabab yang digunakan adalah seperti kerana, lantaran, dan oleh sebab.
Contohnya:
 Saya tidak dapat hadir kerana saya tidak sihat.
 Oleh sebab mereka datang lewat mereka tidak dibenarkan masuk ke dewan peperiksaan.
 Pelajar itu cemerlang lantaran usaha yang bersungguh- sungguh.
 Saya tidak dapat hadir kerana saya tidak sihat..
 Oleh sebab dia memandu terlalu laju, Aman menerima lima saman.

b) Keterangan akibat
Keterangan akibat didefinisikan sebagai unsur yang menerangkan kesan atau hasil sesuatu perbuatan. Kebiasaannya, kata hubung adalah seperti hingga dan sehingga.
Contohnya:
 Pelajar itu berusaha bersungguh- sungguh sehingga ia berjaya.
 Ia menjerit terlalu kuat hingga serak suaranya.






c) Keterangan syarat
Keterangan syarat ialah unsur yang menerangkan tuntutan yang mesti dipenuhi. Kata hubung ketarangan syarat adalah seperti sekiranya, andai kata, jikalau, jika dan kalau
Contohnya:
 Sekiranya saya lulus peperiksaan ini saya akan mengadakan kenduri kesyukuran.
 Andai kata mereka bertindak kita akan bertahan bersungguh- sungguh.
 Jika diizinkan Allah saya akan berkunjung lagi ke Melaka tempat bersejarah ini.
 Siti akan ikut serta kalau ayah membenarkannya.

d) Keterangan waktu
Keterangan waktu ialah unsur yang menerangkan masa sesuatu perbuatan atau kejadian. Kata hubung keterangan waktu adalah seperti sejak, semenjak, sementara, tatkala, dan ketika
Contohnya:
 Polis segera tiba setelah mendapat maklumat tentang pergaduhan itu.
 Sementara menunggu jagung masak petani itu menanam tebu.
 Tatkala hujan membasahi bumi mereka masih di sawah.
 Ketika masih kecil dahulu saya selalu menolong ibu membuat kuih di dapur.






e) Keterangan pertentangan
Keterangan pertentangan ialah unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian yang berlawanan. Kata hubung keterangan pertentangan adalah seperti walaupun, meskipun, kendatipun, biarpun, walau bagaimanapun, namun, sekalipun dan sedangkan.
Contohnya:
 Sekalipun dia sudah lanjut usia, dia masih bersemangat ingin menyambung pelajarannya ke peringkat ijazah.
 Meskipun hari sudah lewat pemuda itu masih enggan berganjak daripada kedai tersebut.
 Mereka berpindah juga ke bandar sedangkan hati mereka masih di kampung.
 Kendatipun polis itu telah terkena peluru, dia terus melawan perompak.
f) Keterangan harapan
Keterangan harapan merupakan unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian yang dihajati. Kata hubung keterangan harapan ini adalah seperti supaya, agar, semoga, moga- moga, dan kalau- kalau.
Contohnya:
 Supaya suasana menjadi aman damai mereka bersetuju dengan cadangan ketua kampung itu.
 Kita mesti bertolak ansur agar semua pihak berpuas hati.
 Cuba berusaha dahulu, kalau- kalau kita berjaya menyelesaikan masalah ini.




g) Keterangan cara
Keterangan cara dapat diertikan sebagai unsur yang menerangkan gaya atau kaedah sesuatu perbuatan atau kejadian berlaku. Kata hubung keterangan cara ialah dengan.
Contohnya:
 Dengan memberanikan hati Anita nekad terjun daripada kapal ke dalam laut.
 Pemuda itu datang dengan menaiki kapal terbang.
 Dia menangkap tikus itu dengan menggunakan perangkap tikus.
 Mereka ke sekolah dengan menaiki bas.

h) Keterangan tujuan
Keterangan tujuan ialah unsur yang menerangkan maksud bagi sesuatu perbuatan atau kejadian. Kata hubung keterangan tujuan adalah seperti untuk, demi, dan bagi.
Contohnya:
 Para pelajar berusaha bersungguh- sungguh untuk berjaya di dalam peperiksaan.
 Demi menyatukan rakyat yang berbilang kaum, Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat ditubuhkan.
 Udara yang bebas daripada pencemaran amat diperlukan bagi menjamin kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh- tumbuhan.






i) Keterangan perbandingan
Keterangan perbandingan dapat didefinisikan sebagai unsur yang menerangkan kejadian yang menjadi persamaan. Kata hubung keterangan perbandingan adalah seperti, macam, seolah- olah, seakan- akan, ibarat, bagaikan, dan bak.
Contohnya:
 Hatinya pilu seperti dihiris pisau.
 Dia terdiam bagai mulutnya terkunci rapat.
 Ali bermimpi seolah- olah berada di alam kayangan.
 Pemuda itu sering termenung macam pungguk merindui bulan.
 Hidupnya amat bertuah ibarat bulan jatuh ke riba.
 Kedua mempelai itu bagaikan cincin dengan permata, sama cantik sama sepadan.

Kesimpulannya, ayat majmuk keterangan dibina untuk pelbagai tujuan dengan menggunakan kata hubung- kata hubung yang tertentu mengikut kesesuaian penggunaannya di dalam konteks ayat.

Read More......

AYAT KOMPLEMEN

Ayat majmuk komplemen ialah ayat utama yang dipancangkan dengan ayat kecil yang seterusnya menjadi komplemen kepada ayat utama.

Dalam bahasa Inggeris perkataaan komplemen bermakna pelengkap. Oleh sebab itu klausa komplemen adalah klausa yang dipancangkan ke dalam klausa utama bagi melengkapkan klausa tersebut. Klausa komplemen ini dipancangkan ke dalam klausa utama dengan menggunakan kata hubung seperti: bahawa, untuk, demi, yang, agar. supaya, semoga, setelah. Kata hubung ini juga dipanggil Kata hubung komplemen.

Contoh ( 1 ) :
Dia memberitahu sesuatu
Jika sesuatu itu diterangkan sebagai ``giginya sakit'' atau ``membeli baju baru'' atau ``akan bertolak ke Kuala Lumpur esok'' maka ayat komplemen dapat dibentuk dengan menggunakan kata hubung bahawa atau yang.
Dia memberitahu giginya sakit
Dia memberitahu membeli baju baru
Dia memberitahu akan bertolak ke Kuala Lumpur esok.
Ayat kecil yang ditaip tebal dalam contoh di atas merupakan objek kata kerja transitif.
Selain itu, subjek juga boleh diterangkan sebagai ayat kecil dan menjadi komplemen ayat utama.
seperti contoh berikut:

Sesuatu telah menyebabkan kebakaran itu.


Jika sesuatu itu diterangkan sebagai ``Mancis api'' atau ``pembuangan putung rokok merata-rata'' , maka ayat komplemen dapat dibina dengan menggunakan ayat kecil pada subjek ayat utama.
Bahawa mancis api telah menyebabkan kebakaran itu.
Bahawa pembuangan putung rokok merata-rata telah menyebabkan kebakaran.
Seperti contoh berikut:
Sesuatu telah menyebabkan kebakaran itu.
Jika sesuatu itu diterangkan sebagai ``Mancis api'' atau ``pembuangan putung rokok merata-rata'' , maka ayat komplemen dapat dibina dengan menggunakan ayat kecil pada subjek ayat utama.
Bahawa mancis api telah menyebabkan kebakaran itu.
Bahawa pembuangan putung rokok merata-rata telah menyebabkan kebakaran.

Contoh ( 2 ) :
i) Murid yang sihat itu telah pulang.
ii) Dia menerangkan bahawa murid itu sihat.
Ayat( i ) ialah ayat relatif. Perkataan yang dalam frasa yang sihat itu menggantikan frasa yang diulang , iaitu murid itu seperti yang terdapat dalam ayat- ayat asal (i) (ii) berikut :
(i) Murid itu telah pulang.
(ii) Murid itu sihat.
Ayat Murid itu sihat telah dipancangkan sebagai ayat relatif ke dalam ayat Murid itu telah pulang. Dalam ayat (ii) pula ayat bahawa murid itu sihat merupakan objek kepada kata kerja transitif menerangkan. Dalam ayat tersebut terdapat subjek dia dan kata kerja transitif menerangkan, dan ayat bahawa murid itu sihat, seolah- olah menjadi objek kepada kata kerja transitif itu. Ini dapat digambarkan dengan gambar rajah berikut :


Ayat 1

S P

FN FK

Kata Kerja Ayat 2

( objek )

Dia menerangkan bahawa murid itu sihat

Ayat tersebut tidak jauh bezanya daripada ayat berikut :
Contoh ( 3 ) :
Siti membeli beg.
Dalam ayat ini beg pun berfungsi sebagai objek kepada kata kerja transitif membeli. Perbezaan terletak pada struktur kedua- dua ayat. Beg pula ialah objek bagi kata kerja membeli sementara bahawa murid itu sihat ialah ayat yang bertugas sebagai objek kepada kata kerja menerangkan. Dia menerangkan bahawa murid itu sihat terdiri daripada dua ayat, iaitu:
(a) Dia menerangkan sesuatu. ( Ayat induk )
(b) Murid itu sihat. ( Ayat komplemen )
Ayat (b) telah dipancangkan ke dalam ayat (a)untuk melengkapi kata kerja dalam ayat tersebut. Hubungan seperti ini, yang berbeza daripada hubungan ayat relatif, disebut hubungan komplemen. Dalam ayat Dia menerangkan bahawa murid itu sihat ayat induknya ialah ayat (a) manakala ayat komplemennya ialah ayat (b).




Kata Komplemen bahawa dan untuk.
Contohnya :
1) Untuk Ali melakukannya sangat sukar.
2) Sungguh sukar untuknya menyelamatkan diri daripada perompak itu.
3) Penduduk- penduduk kampung itu menyedari bahawa kawasan hutan tersebut akan diteroka.
Tiap- tiap satu daripada ayat- ayat di atas itu terdiri daripada dua ayat, iaitu satu ayat induk dan satu ayat komplemen yang dipancangkan, seperti yang berikut:
1) Untuk Ali melakukannya sangat sukar
(a) Ali melakukannya
(b) Perkara itu sangat sukar.
Kata komplemen : untuk
Dalam ayat tersebut, ayat komplemen telah menggantikan frasa nama yang berfungsi sebagai subjek.












Bagi ayat- ayat yang mengandungi kata hubung komplemen bahawa pada kedudukan objek, pengguguran kata komplemen tersebut dibenarkan selagi tidak menjejaskan ayat. Namun, pada kedudukan frasa nama kata komplemen untuk tidak boleh digugurkan.
Seperti ayat berikut:
1) Untuk Ali melakukannya sangat sukar.
Ali melakukannya sangat sukar.
2) Dia mengetahui bahawa Ahmad telah hilang.
Dia mengetahui Ahmad telah hilang.
3) Bahawa ekonomi negara telah merosot adalah kurang tepat.
Ekonomi Negara telah merosot adalah kurang tepat.

Kesimpulannya, pembentukan ayat- ayat majmuk komplemen realitinya disertai penggunaan beberapa perkataan tertentu yang digunakan sebagai kata komplemen untuk menandakan hubungan antara ayat- ayat.













Dalam bahasa Melayu, terdapat tiga jenis ayat komplemen iaitu:
1) Ayat komplemen frasa nama
2) Ayat komplemen frasa kerja
3) Ayat komplemen frasa adjektif
1) Ayat komplemen frasa nama
Frasa nama boleh berada pada empat tempat dalam ayat, iaitu sebagai subjek, predikat, objek tepat dan objek sipi. Namun, ayat- ayat komplemen jenis frasa nama hanya dapat menduduki dua tempat iaitu sebagai ayat komplemen frasa nama subjek dan ayat komplemen frasa nama objek tepat seperti berikut:

i) Ayat komplemen frasa nama subjek
 Bahawa bahasa Melayu bahasa ibunda memanglah jelas.
 Untuk dia mendapat kejayaan dalam peperiksaan itu memang sukar.
 Bahawa cerita itu menyeramkan tidak benar.
 Dakwaan bahawa Ali membunuh telah mendapat liputan meluas di media.
 Amat penting untuk kita menyedari kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha.

Walaupun susunan ayat- ayat di atas ialah ayat songsang, namun bahagian- bahagian yang condong tetap merupakan subjek.

ii) Ayat komplemen frasa nama objek tepat
Objek dalam ayat boleh wujud sebagai objek tepat kata kerja transitif atau sebagai objek sipi, tetapi ayat ayat komplemen boleh wujud hanya sebagai
objek tepat sahaja. Contoh :
 Kerajaan mengumumkan bahawa rakyat akan menikmati pemberian subsidi berikutan harga minyak dinaikkan secara mendadak.
 Berita TV3 itu menyebut bahawa semua penumpang kapal terbang Boeing 474 terselamat.
 Mereka menyedari bahawa kehidupan mereka belum terbela sepenuhnya.
 Yang dituduh mengakui bahawa dia yang melakukan rompakan di kedai emas tersebut.

Dalam ayat- ayat di atas ayat komplemen berfungsi sebagai objek tepat kata kerja transitif pada ayat induknya


2) Ayat komplemen frasa kerja
Frasa kerja dalam ayat boleh terdiri daripada kata kerja tak transitif, iaitu yang diikuti bukan oleh kata nama tetapi oleh keterangan- keterangan lain yang bertujuan melengkapkan frasa tersebut. Ada ayat- ayat komplemen yang berfungsi sebagai pelengkap kepada kata kerja ini, yang bukan frasa nama. Sekali imbas ayat- ayat ini seolah- olah ayat komplemen frasa nama objek, tetapi hakikatnya tidak, oleh sebab ayat- ayat tersebut tidak boleh mengalami proses pasif, iaitu bagi menentukan frasa nama objek. Oleh itu ayat- ayat itu digolongkan ke dalam jenis ayat- ayat komplemen frasa kerja.
Contohnya:

 Pak Keliwon berpendapat bahawa tanah pusaka itu tidak patut dijual.
 Penceramah itu berfahaman bahawa pembangunan negara seiring dengan kepesatan ekonomi.
 Ibu Nur Safiyah beranggapan bahawa anaknya telah berjaya dalam bidang kedoktoran.
 Saya berpendapat bahawa cadangan itu boleh diterima.
 Murid itu berasa bahawa nasihat guru disiplinnya itu benar.

3) Ayat komplemen frasa adjektif
Frasa adjektif boleh menjadi unsur predikat sesuatu ayat. Begitu juga ayat komplemen boleh terdiri daripada ayat komplemen adjektif, iaitu yang merupakan ayat kecil yang dipancangkan ke dalam ayat induk. Tetapi, jumlah ayat jenis ini dalam bahasa Melayu amat terhad.
Ini dapat dilihat menerusi contoh berikut:

 Saya amat percaya bahawa saya akan cemerlang dalam peperiksaan.
 Pelajar itu sedar bahawa mereka harus berjaya dalam peperiksaan.
 Dia sangat yakin bahawa anaknya akan berjaya.
 Mereka sangat insaf bahawa mereka itu serba kekurangan.

Read More......

AYAT RELATIF

Ayat relatif terdiri daripada satu klausa bebas atau ayat utama dan satu atau lebih klausa terikat atau ayat kecil .
Dalam bahasa Inggeris, istilah relatif bermakna bersaudara. Dengan demikian, klausa relatif tersebut adalah bersaudara dengan kata nama dalam subjek atau predikat dalam klausa utama. Klausa relatif atau bersaudara itu dipancangkan atau dimasukkan klausa utama selepas ganti nama. Kemudian, kata nama subjek dalam klausa pancangan itu ditukar kepada ganti nama yang.
Ayat relatif juga merupakan ayat kecil dipancangkan ke dalam subjek ayat utama atau predikat ayat utama dengan menggunakan kata hubung yang, bahawa, kerana, jika, apabila, sungguhpun dan sebagainya.
Contoh proses pancangan berlaku:
1) Saya membeli buku yang berwarna biru itu.
Ayat majmuk ini asalnya terdiri daripada dua klausa (ayat) iaitu :
Pertama : Saya membeli buku itu
Kedua: Buku itu berwarna biru.
Kemudian, kedua- dua klausa ini digabungkan menjadi seperti berikut,
Saya membeli buku itu + Buku itu berwarna biru.
Dalam bahasa Melayu apabila ada dua klausa seperti ini digabungkan , maka wujudnya klausa pertama (utama) dan klausa kedua yang bersaudara atau menerangkannya. Ini bermakna klausa kedua berelatif dengan klausa pertama. Dalam keadaan ini,klausa relatif itu dipancangkan ke dalam klausa utama selepas kata nama yang bersaudara dengannya.Dalam contoh dapat dilihat klausa relatif itu dipancangkan ke dalam klausa utama.
Saya membeli buku (Buku itu berwarna biru) itu


Oleh sebab kata nama objek dalam klausa utama adalah serupa dengan kata nama subjek dalam klausa relatif, maka ganti nama subjek klausa relatif itu digantikan dengan kata nama yang.Perkataan yang menghubungkan klausa relatif yang dipancangkan itu dengan klausa utama, seperti:
Saya membeli buku (yang berwarna biru) itu.
Hasilnya adalah ayat majmuk seperti berikut:
Saya membeli buku yang berwarna biru itu.
Ayat pancangan itu dipancangkan ke dalam klausa utama selepas kata nama inti, sebelum kata tugas tunjuk itu.
Saya membeli buku yang berwarna biru itu. [ betul ]
Saya membeli buku itu yang berwarna biru. [ salah ]
Ini adalah kerana, klausa relatif itu bersaudara dengan kata nama sahaja, bukan dengan seluruh frasa subjek berkenaan.

Contoh ( 2 ) :

(1). Atan yang cepat naik angin menampar budak yang suka mengintai orang kampung itu.
(2) Atan menampar budak itu.
(3) Atan cepat naik angin
(4) Budak itu suka mengintai orang kampung.

Ayat (3) dipancangkan kepada subjek ayat utama dalam ayat (1) dan ayat (4) dipancangkan kepada objek ayat utama.
Kesimpulanya, ayat (1) terdiri daripada satu ayat utama dan dua ayat kecil yang dipancangkan ke dalam ayat utama.

Read More......